Monday, 24 August 2015
Lepas jawatan bila sokong ahli Parti Amanah Rakyat
SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas Pusat hari ini menyatakan sokongan penuh ke atas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyarankan mana-mana wakil rakyat Pas yang telah menyertai Parti Amanah Rakyat meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Pas.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad menyifatkan saranan tersebut sebagai kenyataan yang rasional memandangkan mereka yang menyertai Parti Amanah Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu dengan menggunakan tiket Pas.
“Mereka yang menang sebagai wakil rakyat dalam PRU yang lalu bukanlah atas kapasiti peribadi tetapi atas Pas berlambang bulan dengan bantuan penuh dari sudut kewangan dan tenaga kerja.
“… Rakyat juga memberi mandat kepada mereka sebagai wakil rakyat Pas, bukannya sebagai wakil rakyat Parti Amanah Rakyat,” katanya.
Katanya lagi, sepertimana wakil rakyat yang telah keluar dari parti tersebut sebelum ini, mana-mana wakil rakyat yang berhasrat untuk meninggalkan parti selepas ini juga perlu meletak jawatan serta tidak dibenarkan menikmati gaji juga elaun harian sebagai wakil rakyat Pas.
“Sebagaimana ikrar mereka segala gaji dan elaun yang mereka peroleh adalah haram atas mereka.
“Atas maruah sebagai seorang Muslim yang berjanji maka ianya sepatutnya ditepati dan bukan diingkari. Hanya golongan munafik sahaja mengingkari janji-janji mereka,” katanya lagi.
Parti Amanah Rakyat akan terdiri daripada kumpulan gerakan Harapan Baru dan pertubuhan bukan kerajaan Islam.
Dijangka dilancarkan pada Hari Kemerdekaan, menurut sumber, parti yang berteraskan Islam itu akan menggunakan warna Harapan Baru sekarang iaitu oren sebagai warna tema partinya.
“Sekian lama sebelum ini kita mengkritik wakil-wakil rakyat yang meninggalkan parti dan melompat ke parti lain sebagaimana berlaku di Perak yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PR Perak, maka begitulah sebagai seorang wakil rakyat bermaruah sewajarnya meletakkan jawatan apabila keluar daripada Pas,” katanya lagi.