Monday, 24 August 2015
Lagi desakan wakil rakyat Pas letak jawatan
KUANTAN - Seorang lagi pemimpin gerakan Harapan Baru hari ini mendesak semua wakil rakyat Pas yang menentang penubuhan parti itu supaya meletak jawatan.
Timbalan Penyelaras gerakan Harapan Baru Pahang, Syed Hamid Syed Mohammed berkata, ini kerana Pas terlebih dahulu telah melanggar perjanjian apabila 'berpatah arang' dengan pakatan pembangkang yang sekaligus melanggar baiah yang dibuat sebelum ini.
"Masalahnya sumpah ini hanya satu pihak kena tetapi parti yang langgar sumpah macam mana? (Apabila Pas melanggar perjanjian dengan memutuskan hubungan dengan DAP).
"Saya di Dun Kuala Semantan, Temerloh menang dengan majoriti lebih 2,000 dan di Parlimen hanya menang (kerana) undi Cina (Ketua Penerangan Pas, Nasarudin Hassan menang di Parlimen Temerloh) yang bermakna kemenangan itu dibantu rakan pakatan pembangkang, banyak tempat undi Melayu kalah.
"Jadi mereka ini kena taat dengan pakatan pembangkang dan apabila mereka memutuskan permuafakatan itu maksudnya mereka sudah melanggar baiah, jadi merekalah kena letak jawatan wakil rakyat bukannya kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir, Penyelaras Harapan Baru Pahang, Dr Hamzah Jaaffar.
Terdahulu, Pengerusi Harapan Baru, Mohamad Sabu turut mendesak semua ahli parlimen dan Adun Pas supaya meletakkan jawatan masing-masing atas alasan kemenangan itu diperoleh hasil tiket bersama dengan pakatan pembangkang.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua wakil rakyat Pas yang ingin menyertai parti baharu supaya meletakkan jawatan kerana melanggar baiah parti.
Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya tidak akan menarik anggota-anggota Pas untuk menyertai Harapan Baru, sebaliknya ia terpulang kepada mereka sendiri.
Katanya, Mohamad Sabu dijangka melancarkan parti itu di Pahang pada 12 September di Temerloh. - Bernama