Monday 7 September 2015

PRU14: PAS rancang tanding di kerusi DAP


PAS berhasrat untuk meletakkan calonnya di kerusi yang ditandingi DAP pada pilihan raya umum akan datang dan kini parti itu sedang mengkaji secara mendalam mengenai rancangan itu.



Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan meletakkan calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi mewakili parti untuk kerusi itu, lapor Sinar Harian hari ini.

"Apabila kita sudah tidak ada kerjasama dengan DAP sekarang ini, sudah pasti pilihan raya umum akan datang mempunyai perhitungan lain daripada yang lalu.

"PAS tidak akan teragak-agak untuk menempatkan calon ita, malah kini di peringkat kajian mendalam bersama Jawatankuasa Pilihan Raya PAS dan pimpinan pusat untuk meletakkan calon bukan Islam mewkili PAS," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Laporan itu juga menyebut, Hadi mengakui PAS mempunyai ramai calon bukan Islam yang layak bertanding mewakili PAS selagi mereka mendukung dan menyokong konsep perjuangan parti.

Akhbar itu juga melaporkan Hadi berkata Islam berbeza dengan ideologi lain dan membenarkan orang bukan Islam menjadi menteri tetapi dari aspek eksekutif bukan pembuat dasar.

PAS diseru tumpu kerusi menang

Sementara itu dalam laporan yang lain, akhbar itu turut melaporkan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menyeru PAS supaya menumpukan kepada kerusi dimenangi terlebih dahulu sebelum bercadang bertanding di kerusi DAP.

Katanya, PAS tidak perlu mengejar untuk menambah kerusi kerana kerusi yang dimenangi sebelum ini belum tentu kekal milik PAS, lapor akhbar itu lagi.

"Terpulang kalau PAS nak bertanding di mana-mana kerusi pun kerana ia sedikit pun tidak akan menggugat DAP.

"Tetapi sebelum ini, saya nasihatkan PAS supaya memberi fokus yang lebih terhadap kerusi dimenanginya dahulu, sebelum mahu tambah kerusi lain.

"Lihat sahaja di Negeri Sembilan, pada pilihan raya umum lalu, satu kerusi pun PAS tak menang. Macam nana pula mahu mahu tambah kerusi lagi," katanya seperti dilapor akhbar itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...