Monday 12 October 2015

PAS P. Pinang sedia berdepan BN dan Pakatan Harapan pada PRU14 - Fauzi


KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) meskipun terpaksa berdepan saingan dua gabungan parti politik iaitu Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan.
 
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Mohd Yusof berkata parti itu tidak terjejas selepas disingkirkan apabila dibentuk konsensus baru dianggotai PKR, DAP serta parti baru dinamakan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dibarisi bekas pimpinan parti Islam itu.
 
"Kita berjalan macam biasa dan kita akan bertindak sebagai parti politik seperti biasa.
 
"Maknanya kita akan berdepan dengan PRU14 sama ada kita bersendirian ataupun bersama dengan PKR," katanya kepada Antarapos.
Beliau menambah soal masa depan parti berteraskan Islam itu ia diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan hala tujunya.
 
"Itu kita serah kepada pusat yang akan menentukannya nanti," katanya.
 
Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan pihaknya kini sedang meneliti mengenai rancangan meletakkan calonnya di kawasan DAP termasuk pemilihan calon yang difikirkan sesuai bertanding di kerusi berkenaan.
 
Abdul Hadi berkata, pihaknya juga akan meletakkan calon bukan Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS bagi mewakili parti itu.
 
Sementara itu wakil tunggal PAS di Pulau Pinang Datuk Mohd Salleh Man enggan mengulas mengenai perkara itu sebaliknya berkata akan meneruskan khidmat sebagai ADUN Permatang Pasir sehingga mandat berakhir.
 
"Kita masih lagi bertahaluf dengan PKR, jadi tidak timbullah isu ini.
 
"Bagi saya pula akan terus berkhidmat sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...