Monday 12 October 2015

Parti Amanah diminta henti kaitkan Pas


KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) diminta menghentikan sebarang dakwaan yang mengaitkan Pas atau cuba mencari isu untuk terus memburukkan parti itu.

Penolong Setiausaha Pemuda Pas Terengganu, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, dakwaan bahawa Pas mengatakan ahli Amanah kafir bukan sahaja mengejutkan malah hairan bagaimana isu tersebut boleh timbul.


Apa yang jelas, pihaknya tidak mendengar kenyataan sedemikian dinyatakan secara terbuka oleh pimpinan dan ahli Pas.

“Apa yang Amanah buat pada Pas itu pernah berlaku sebagaimana yang pernah Umno kata kepada Pas dahulu. Kita tidak pernah dengar perkara ini. Saya sendiri terkejut dan berasa pelik macam mana isu ini timbul,” katanya kepada Sinar Harian.
(BACA JUGA - PAS P. Pinang sedia berdepan BN dan Pakatan Harapan pada PRU14 - Fauzi )
Sebelum ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu meminta pihak tertentu berhenti menggelar Amanah sebagai parti kafir dan menyimpang.    

Muhammad Zaidan yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Setiu bagaimanapun percaya bahawa pihak tersebut mungkin mahu meraih simpati dengan menimbulkan isu sedemikian bagi menarik perhatian pengundi kepada Amanah.

Mengakui gelaran pengkhianat pernah diberi Pas kepada ahli-ahli parti itu, namun menolak sekeras-kerasnya gelaran sedemikian pernah diucapkan oleh pimpinan Pas.

“Kita tidak pernah dengar pimpinan Pas kata Amanah kafir. Isu ini berlaku tiba-tiba. Mungkin mereka sekadar meraih simpati,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak bahawa Mohamad mungkin pernah mendengar dakwaan tersebut daripada mana-mana pihak di peringkat akar umbi dan menjadikan ia sebagai isu yang besar.

Jelasnya, sebagai seorang presiden parti, kenyataan sedemikian tidak perlu dilayan apatah lagi beliau sebagai ketua parti sudah tentu tahu mana isu yang perlu diketengahkan atau sebaliknya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...