Sunday 20 September 2015

Tanpa Pas lebih mudah bentuk pakatan baharu


KUALA LUMPUR 20 Sept. - Parti Amanah Negara (Amanah) menganggap pendirian Pas yang enggan bekerjasama dengan DAP dan parti itu akan memudahkan lagi parti pembangkang membentuk sebuah pakatan baharu.



Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, dengan ini, Amanah, PKR, DAP bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang akan mempercepatkan lagi penubuhan muafakat baharu itu tanpa Pas.
“Amanah mengulangi pendirian dan komitmen bahawa kami akan bersama dengan tuntutan rakyat untuk bersama dalam pakatan baharu pembangkang bagi membawa perubahan politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Salahuddin mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan kerjasama politik parti itu hanya bersama PKR.
Kenyataan Abdul Hadi itu sekali gus menolak kemungkinan Pas akan bekerjasama dalam pakatan baharu pembangkang yang turut dibarisi Amanah dan DAP.
Menurut Salahuddin, Amanah telah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk bersama semua pihak termasuk Pas bagi menyertai perbincangan ke arah menubuhkan muafakat politik baharu.
Beliau dalam pada itu, menye­rahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri pendirian Pas yang menolak untuk berada dalam kerjasama politik baharu parti pembangkang sebaliknya hanya mahu bekerjasama dengan PKR.
-utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...