Wednesday, 23 September 2015

Keputusan Pas boleh berubah


KOTA BHARU - Walaupun Pas menolak bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara, namun itu bukanlah keputusan yang tidak boleh berubah kerana PRU14 dijangka pada 2018.



Pengerusi Parti Amanah Negara (Kelantan), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, Pas mempunyai banyak masa lagi untuk berfikir tentang pelawaan tersebut dan beliau yakin Pas akan mengubah keputusan itu.

“Saya yakin Pas akan bersama pakatan baharu sebelum PRU14, maknanya kita masih ada masa lebih dua tahun untuk menguruskan perkara berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang menegaskan pelawaan untuk persidangan meja bulat itu ditolak, selain menyifatkan kini bukan waktu sesuai untuk mereka menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Rakyat.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim turut membayangkan keputusan tersebut akan berubah selepas berlakunya muktamar Pas 2017. Dalam masa sama, ia juga dikaitkan dengan pucuk kepimpinan tertinggi parti Islam itu yang mungkin akan berubah muka selepas muktamar tersebut.

“Mungkin selepas Muktamar Pas 2017 nanti berlaku perubahan pucuk pimpinan Pas yang akan memudahkan susunan parti pembangkang dalam pakatan baharu,” katanya.

Wan Rahim turut memberi gambaran jelas bahawa Pas masih mempunyai harapan untuk bersama Pakatan 2.0 walaupun ketika ini masih ‘berdegil’ untuk tidak duduk semeja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...