Sunday, 20 September 2015

Pakatan 2.0 Mula Sabotaj PAS


Pakatan Rakyat 2.0 mula sabotaj PAS dedah Zulkifli Sulong, pengarang analisis dan rencana The Malaysia Insider.

Sehingga kini, PAS sudah diketepikan dalam sekurang-kurangnya 3 program besar iaitu mesyuarat parti pembangkang pada 29 Julai, penyerahan memorandum sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Ogos dan himpunan Bersih 4.0 hujung bulan ini, dedahnya lagi.

“Mesyuarat (Pakatan 2.0) pada bulan lalu itu dipanggil ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun dibatalkan secara tergesa-gesa kerana DAP tidak mahu menyertainya jika PAS menyertainya.

“PAS sebelum itu memutuskan menghantar 3 wakil ke mesyuarat itu iaitu timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, setiausaha agung Datuk Takiyudin Hassan dan ketua pengarah pilihan raya Datuk Mustafa Ali.

“Ketika itu, beberapa pemimpin yang mewakili PAS tiba di pejabat PKR di Petaling Jaya untuk menyertai mesyuarat, namun mendapati ia dibatalkan dan ditukar kepada mesyuarat antara Dr Wan Azizah dengan pemimpin organisasi bukan kerajaan (NGO) saja,”lapor dalam artikel bertajuk “PAS kini mula terasa keseorangan selepas dipinggirkan.”

Khamis lalu, pemimpin pembangkang mewakili semua parti hadir ke pejabat SPRM bagi memberi sokongan moral kepada badan pencegah rasuah itu, namun tiada wakil PAS kelihatan.

The Malaysian Insider difahamkan, pemimpin PAS tidak diberitahu atau dijemput untuk menyertainya.

Hasilnya, Pemuda PAS Selangor terpaksa pergi bersendirian menghantar memorandum sokongan pada keesokan harinya, 7 Ogos.

Malah, dalam penganjuran himpunan Bersih 4.0, ketika semua parti politik pembangkang termasuk kumpulan pecahan daripada PAS, Gerakan Harapan Baru (GHB), diajak berbincang untuk menjayakannya, namun PAS tidak dimaklumkan mengenainya.

“Ini menyebabkan pihak media tertanya-tanya, apakah PAS akan menyertai himpunan ini atau tidak kerana penyokong mereka adalah yang paling ramai dalam himpunan Bersih sebelum ini,”soal Zulkifli.

Beliau juga turut melaporkan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memaklumkan, pihaknya hanya akan menghantar 3 wakil ke perhimpunan Bersih 4.0.

Ini kerana perhimpunan itu bukan dianjurkan PAS.

“Kita buat keputusan untuk menyertai Bersih tetapi yang Bersih 4.0 ini bukan kita kepalai, orang lain yang kepalai, bukan kita yang buat agenda, orang lain yang buat agenda.

“Jadi, kita hantar wakil saja, 3 orang menyertai himpunan ini. Kita tidak suruh ahli kita pergi.

“Kita akan adakan himpunan yang lain yang dikepalai PAS dan kita akan ajak orang lain datang,” kata Hadi dalam ucapan pada majlis himpunan PAS Perak di Ipoh pada Ahad.
AIDCNews – 12/8/15 – 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...