Monday 21 September 2015

Penghijrahan 10 wakil rakyat tak jejas Pas


KOTA BHARU - Jika benar dakwaan mengatakan 10 wakil rakyat Pas Kelantan akan meninggalkan parti itu menjelang Januari depan, ia sebenarnya langsung tidak mengganggu keutuhan dan kepercayaan penyokong terhadap parti tersebut.



Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Yusof berkata, namun perkara sebaliknya akan berlaku apabila kemungkinan besar pemimpin terbabit berdepan kecaman tidak diterima rakyat selepas bertanding atas tiket parti lain.

“Datuk Kamarudin Jaffar contohnya, pernah beberapa kali bertanding di Tumpat atas tiket BN tetapi tidak pernah menang sehinggalah beliau bertanding di bawah tiket Pas, sekali gus menunjukkan kemenangan beliau bukanlah berpunca daripada populariti dirinya tetapi oleh parti diwakili.

“Ini juga memberikan jawapan awal kepada apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Pas Kelantan masih tetap mempunyai majoriti selesa dalam Dun,  yang tidak memungkinkan ia akan tumbang walaupun berlakunya penghijrahan melibatkan wakil rakyatnya ke parti baharu.

Beliau berkata, Kelantan juga adalah sebuah negeri yang terkenal dengan rakyat kuat beragama dan menghormati alim ulama, sama ada yang berjawatan dalam kerajaan mahupun parti atau tidak.

“Sebab itulah juga kita melihat dua wakil rakyat Pas Kelantan yang keluar setakat ini iaitu Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Kamarudin, adalah mereka yang tidak menetap di Kelantan, menjadikan mereka tidak bimbang dipulaukan oleh masyarakat setempat.

“Jika pun ada wakil rakyat Pas yang menetap di Kelantan dan mahu keluar parti, maka kemungkinan besar kebanyakan mereka akan berbuat demikian setelah Parlimen dan Dun dibubarkan, ”katanya.

Kamarul berkata, jika wakil rakyat Pas Kelantan tetap keluar Pas di sebalik baiah mereka, maka sudah tentu mereka akan menghadapi tekanan dan cemuhan daripada masyarakat setempat yang melihat tindakan itu sebagai tidak amanah dan tidak bermaruah.

“Sebab itu saya melihat faktor penerimaan masyarakat setempat akan menyebabkan kemungkinan besar wakil rakyat Pas Kelantan yang menetap di Kelantan tidak akan keluar daripada Pas,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...