Sunday 18 October 2015

Selangor kaut untung untuk kepentingan politik


AMPANG - Umno mendakwa kerajaan negeri Selangor menikmati keuntungan daripada konsesi-konsesi tol di negeri ini dan digunakan untuk kepentingan politik sahaja.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkata, sepatutnya royalti yang telah dikutip dari rakyat selama ini dikembalikan semula kepada rakyat Selangor.


"Ibaratnya, tol ini Kerajaan Pusat beri duit kepada konsesi tapi yang menikmati keuntungannya adalah kerajaan negeri dan mereka menggunakan keuntungan itu hanya untuk kepentingan politik sahaja. Bayangkan 30 peratus 'share' mereka dalam konsesi ini.

"Jadi, sepatutnya 'share' tersebut dan royalti yang telah dikutip sekian lama daripada pengguna-pengguna lebuhraya, pulangkan balik kepada rakyat Selangor," katanya.

Sebelum ini, beberapa syarikat konsesi di 18 buah lebuh raya utama dengan 12 daripadanya dari Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 berkuatkuasa Khamis lalu.


Kenaikan kadar itu mengundang pelbagai reaksi negatif daripada rakyat yang membantah kenaikan tersebut.

Sementara, Ketua Umno Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, selepas diketahui rakyat bahawa pemegang saham konsesi tol itu adalah anak syarikat kerajaan negeri, rakyat merasakan bahawa kerajaan negeri Selangor bermain sandiwara selama ini.

"Jika kita tengok kenyataan terbaharu bahawa kenaikan (kadar) tol itu adalah munasabah.

"Apabila perkara itu menguntungkan mereka, mereka kata ia munasabah, jika tidak, mereka kata tidak munasabah," katanya.

Ketika dibangkitkan media tentang perjanjian itu melibatkan kerajaan Persekutuan, beliau sebaliknya mempertikaikan sikap anak syarikat kerajaan negeri yang tidak menolak ketika kadar tol itu dinaikkan.

"Kita tidak minta kerajaan menurunkan kadar tersebut kerana tol ini kalau dikira kenaikannya terlalu tinggi. Selama ini kita tahu bahawa sebahagian besar daripada kadar tol itu ditampung oleh Kerajaan Persekutuan.

"Tapi hari ini, Kerajaan Persekutuan mungkin akan menyerahkan kepada rakyat. Bahkan, jika kita lihat kepada pemegang-pemegang konsesi tersebut, mereka tidak menolak. Jadi, rakyat hari ini ditindas terlalu tinggi," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...