Sunday 18 October 2015

Hadi: Ahli PAS jangan jadi kera melompat ke pokok yang banyak buah


KOTA BHARU: Program Himpunan Fastaqim (H60K) di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, Kelantan malam tadi menyaksikan laungan mengajak ahli-ahli PAS untuk terus beristiqamah dalam perjuangan Islam parti itu.

Program sehari itu juga menjadi pentas untuk pemimpin PAS membidas penubuhan Parti Amanah Negara  oleh bekas pemimpin parti itu.


Kehadiran lebih 60 ribu ahli dan penyokong PAS semalam juga di canang sebagai bukti parti itu tidak tergugat dengan penubuhan Amanah.

Presiden PAS  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkan kehadiran himpunan itu sebagai manifestasi PAS masih mempunyai sokongan utuh.

Dalam mengupas isu Amanah, Hadi  PAS tidak akan sesekali mempunyai tempat terhadap golongan yang mempermainkan lafaz bai'ah kerana yakin mereka akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT.

"Bai'ah bermakna 'menjual' kepada Allah SWT. Allah menawarkan (ganjaran) nak beli daripada hamba-hambanyanya yang beriman dan berjuang untuk menegakkan Islam.

Beliau menyifatkan bekas pemimpin PAS yang beralih ke Amanah sebagai golongan yang mabuk kuasa sehingga meminggirkan perjuangan Islam.

"Yang tidak mengerti (baiah) adalah mereka yang mahu menang cepat, cari jalan yang dekat, memintas jalan, menjadikan mereka tidak istiqamah dan tidak betul dalam perjuangan.

"Macam kera yang menuju ke arah mana pokok yang mana buah. Bila melihat buah kita tidak banyak, mereka melompat ke pokok lain yang punyai banyak buah," kata Hadi di  himpunan itu.

Amanah kini mengambil tempat PAS dalam gabungan pembangkang baru yang dinamakan Pakatan Harapan yang turut merangkumi PKR dan DAP.

PAS enggan meyertai gabungan itu kerana berbalah dengan DAP dan menganggap pemimpin Amanah pengkhianat.

Lafaz bai'ah menjadi polemik hebat di dalam PAS setelah tindakan bekas wakil rakyat parti itu enggan mengosongkan kerusi mereka walaupun berjanji berbuat demikian jika keluar parti.

"Setiap calon yang mahu bertanding berbai'ah setia kepada perjuangan Islam. Ditambah dengan lafaz 'wallahi  wabillahi watallahi' ia adalah siasah untuk meneguhkan bai'ah. Jika melanggar bai'ah, khianat perjuangan Islam yang dibawa PAS, maka akan dilaknat oleh Allah SWT, Rasul dan lain-lain," tegas Hadi.

Senada dengan Hadi adalah Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din yang mahu ahli-ahli parti percaya bahawa kesetiaan mereka terhadap landasan Islam yang diperjuangkan PAS akan menerima ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Beliau juga mengingatkan ahli-ahli tidak terikut dengan tindakan pemimpin Amanah yang dilihat berdepan dengan krisis 'hak dan batil'.

"Sesiapa yang mahu beriman dan berjuang menegakkan hak maka buat dan teruskan. Sesiapa yang nak tinggal dan kufur, maka buatlah. Allah SWT sudah sediakan sesuatu kepada orang-orang yang zalim yang meninggalkan hak dan menzalimi dirinya," demikian menurut Haron.

Dakwaan Amanah bahawa PAS makin kehilangan sokongan ahli-ahli parti kerana berhijrah kepada perjuangan Amanah di tepis oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Himpunan malam ini membuktikan bahawa PAS jangan disentuh. Sebarang sentuhan kepada PAS akan melihat kebangkitan semula rakyat untuk mendokong kekuatan PAS," katanya.

Malah hal yang sama juga ditegaskan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mahfodz Mohamed dengan memberi keyakinan kepada ahli-ahli bahawa perjuangan parti akan dibantu Allah SWT.

"Walaupun PAS bersendirian di dalam PRU-14, kita jangan takut sebab Allah SWT akan berikan kemenangan kepada kita. Dan janganlah kita berdukacita atas apa sahaja yang kita hadapi pada masa lalu.

"PAS nak kemenangan dan juga atas keredhaan Allah. Maka dalam perjuangan Islam, ia bukan sekadar cakap-cakap tetapi kena amalan dan mendampingkan diri dengan Allah SWT," ujarnya.

Himpunan Fastaqim diadakan untuk menggembeling dan memperlihatkan kekuatan PAS dalam scenario politik yang mencabar.

Buat masa ini parti itu hanya bekerjasama dengan PKR dan bakal menghadapi saingan tiga penjuru atau lebih di banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...