Tuesday, 29 September 2015
PKR P.Pinang HALAU Salleh Man dan PAS keluar dari Kerajaan Negeri
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan Wanita Keadilan Pulau Pinang hari ini menyokong penuh keputusan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan Pakatan Harapan dokongan DAP, PKR dan Amanah.
Menurut ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abd Razak, ekoran kenyataan Ketua Menteri telah mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan, beliau yang mewakili AMK Pulau Pinang menggesa pemimpin Pas yang kini mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri supaya melepaskan jawatan sebelum hujung tahun ini.
"Saya mahu mereka (pemimpin Pas) melepaskan jawatan mereka, termasuk Salleh Man yang merupakan pemimpin Pas. Mereka diberi tempoh sehingga hujung tahun ini," kata Asrol dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Keadilan di Seberang Jaya hari ini.
Asrol turut menyentuh mengenai kedudukan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang kini disandang oleh pemimpin Pas akan digantikan dengan pemimpin dari PKR yang kini sedang memegang jawatan sebagai timbalan tersebut apabila tempoh jawatan berkenaan akan tamat hujung tahun ini
Asrol yang ditanya pemberita adakah perkara ini telah dibawa ke pihak atasan memaklumkan, pihaknya telah membuat surat mengenai jawatan tersebut dan akan mengadakan satu mensyuarat bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
Tambahnya, kekosongan yang akan ditinggalkan oleh wakil Pas tersebut haruslah diisi dengan wakil PKR yang merupakan parti kedua terbesar Pakatan Harapan di Pulau Pinang dengan berjaya menawan 10 kerusi Adun di negeri itu.
"Harus ditegaskan bahawa PKR juga merupakan parti kedua terbesar Pakatan Harapan Pulau Pinang dengan 10 orang Adun," katanya
Dalam masa yang sama, Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria memaklumkan Wanita PKR di negeri itu menyokong penuh bahawa wakil Pas harus digugurkan dari jawatan kerajaan negeri ekoran parti Islam itu tidak lagi bersama gabungan parti pembangkang.
Katanya, Pas haruslah memastikan wakil mereka yang mempunyai jawatan di Pulau Pinang melepaskan jawatan kerana ia selari dengan keputusan Ketua Menteri yang telah mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan Pakatan Harapan yang didokong DAP, PKR dan Amanah.
Selain itu, AMK dan Wanita Keadilan Pulau Pinang berharap DAP dapat memutuskan keputusan mengenai jawatan yang disandang wakil Pas dibincangkan dengan PKR terlebih dahulu sebelum memutuskannya bagi memastikan hubungan antara parti Pakatan Harapan terus terjalin.-Utaranews.com-

