Sunday 13 September 2015

Berhenti hasut ahli kita, PAS Selangor beri amaran kepada Amanah


PETALING JAYA: PAS Selangor memberi amaran kepada Parti Amanah Negar supaya  berhenti 'menghasut  dan mencuri' ahlinya  sebelum 'sesuatu yang tidak diingini berlaku.'

Setiausaha PAS Selangor Mohamad Khairuddin Otman berkata belau sudah menerima maklum balas mengenai taktik-taktik agresif yang digunakan untuk mempengaruhi ahli PAS lompat ke Amanah.


"Dulu masa mereka bersama dengan PAS, dia (Amanah) ini tidak pula curi ahli Umno, dia tidak curi ahli-ahli orang. Mengapa sekarang bila dia jadi Amanah, dia hendak curi ahli kita?

"Sebab ini rungutan yang sampai kepada saya, kepada kita di peringkat negeri, saya memberi amaran (Amanah) perlu berhentikan perkara ini sebelum ada sesuatu... yang kita tidak ingini berlaku," kata beliau.

"Benda ini sangat sensitif, jangan hasut, jangan merayu...kalau ada orang hendak masuk (Amanah), jangan sampai pergi ada rombongan hendak menghasut, hendak mengacau, menganggu...saya ingat tidak berapa sesuai," ujarnya.

Khairuddin berkata PAS tidak goyah dengan Amanah walaupun pengerusinya Mohammad Sabu meramalkan  puluhan ribuan penyokong pembangkang khususnya ahli PAS akan menyertai Amanah  tahun ini.

Beliau berkata PAS mempunyai rekod ketahanan cukup baik berbanding parti serpihan yang pernah ditubuhkan masa lalu.

"Janganlah pula kerana terbentuk Amanah ini, PAS dikatakan goyang, kita sudah lebih daripada 50 tahun, parti kita melalui macam-macam, pernah ada Berjasa, Hamim dan berbagai lagi.

"Jadi saya ingat kalau bentuk Amanah ini, PAS tidak akan tergugat, dia pun tidak bukti lagi kekuatan dia, " katanya.

Dalam pada itu beliau berkata Amanah sebagai "parti luar" harus menghormati hasrat PKR mahukan PAS untuk terus menyertai Pakatan Rakyat,

 Khairuddin berkata, PAS Selangor mahu terus kekal bersama PR buat masa ini sungguhpun DAP yang mendokong  Amanah kini berbalah dengan PKR bersabit isu itu.

"Kita di Selangor akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat, dan kita akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

"Isu perbalahan di antara DAP dan PKR itu  kerana ada parti lain yang campur tangan dalam urusan parti lain. Saya ingat kalau sudah PKR, presiden dan timbalan presiden sudah membuat kenyataan untuk mengambil PAS untuk bersama dalam Pakatan, saya ingat kita perlu menghormati pandangan PKR itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Antarapos ketika ditemui pada Majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat PAS Selangor tadi,

 PKR kini berusaha menyakinkan PAS untuk menyertai pakatan pembangkang baru bersama Amanah dan DAP namun cadangan itu ditolak oleh DAP sebagai tidak praktikal.

DAP sebaliknya hanya mahukan Amanah dalam pembentukan Pakatan 2.0 sungguhpun parti itu belum berdaftar secara resmi.

Amanah diterajui oleh bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan parti lalu dan keciwa dengan kepimpinan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...