Sunday 13 September 2015

Pemuda Pas terkilan PKR terima Kamaruddin


KUALA LUMPUR - Pas melahirkan rasa terkilan terhadap tindakan PKR menerima kemasukan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar ke dalam parti berkenaan.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sewaktu berada dalam PR, Pas mewujudkan satu polisi kesepakatan untuk tidak menerima ahli dan wakil rakyat dari mana-mana parti dalam PR.

"Ada juga beberapa kes dalam rekod kita di mana kita tangguhkan kemasukan ahli dan wakil rakyat dari parti rakan PR kerana kita mahu menjaga hubungan dalam PR.

"Bagi saya menjaga hubungan itu lebih baik. Dalam isu ini kita lahirkan rasa terkilan dengan rakan kita (PKR) yang menerima wakil rakyat dari parti sahabatnya sendiri," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas Pusat, hari ini.

Katanya, sehingga sekarang, Pas masih mengekalkan polisi berkenaan sebagai menghormati rakan dalam PR.

"Saya yakin tidak akan berlaku rakan dari parti dalam PR lompat ke dalam parti kita (Pas) selama mana kita berada dalam PR," katanya.

Menurut Nik Mohamad Abduh, Kamaruddin  masih terikat dengan bai'ah seperti mana wakil rakyat lain di Kelantan.

"Beliau menanggung beban dia dengan bai'ah menggunakan sumpah nama ALLAH," katanya.

Ditanya penerimaan Pas terhadap bekas wakil rakyat DAP, Sum Cheok Leng, Nik Mohamad Abduh berkata, pihaknya menerima bekas wakil rakyat berkenaan selepas DAP memutuskan hubungan dengan Pas.

"Apa yang membezakan situasi ahli dan wakil rakyat PKR dengan DAP lompat parti ini adalah rasa hormat. Adapun DAP pula  berbeza kerana rasa hilangnya rasa hormat dan ia berlaku selepas DAP putuskan hubungan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...