Wednesday, 7 October 2015
Parti AMANAH Tiada Tempat Di Selangor – Wakil Rakyat PAS
Parti Amanah Negara (AMANAH) kini dilihat umpama kelahiran yang tidak diingini apabila pemimpin PAS di Selangor mengatakan tiada tempat untuk AMANAH di negeri itu kerana jelas ia ditolak masyarakat.
Demikian reaksi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sallehin Mukhyi berkenaan hasrat parti itu untuk masuk dan bertapak di negeri Selangor.
“Dia (Salahuddin Ayob) bercakap dalam keadaan yang ahlinya baru berapa orang dan bagi saya Amanah tidak ada tempat di Selangor.
“Samada anak muda ataupun golongan pertengahan, mereka tidak minat dengan Amanah yang sekarang pun menarik ahli dikalangan PAS sahaja. Kita semakin sedar bahawa tidak ada keperluan Amanah di Selangor”, tegas Sallehin dipetik laman portal Antarapos.
Timbalan Presiden AMANAH Salahudin Ayub sebelum ini menganggap Selangor dan Johor sebagai tapak permulaan mereka dalam nenetukan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bagi Sallehin, AMANAH masih berteka-teki untuk mencanang kerusi mana yang mereka mahu bertanding malahan masih bergelut dengan PAS untuk pertandingan tiga penjuru di kawasan dimenangi mereka.
“Realitinya sampai hari ini tidak tahu Amanah tidak boleh nak menentukan mana kerusi yang dia akan bertanding kalau dia berkata Selangor adalah tempat subur bagi Amanah.
“Bagi PAS (Selangor) kita tegaskan bahawa kita akan bertanding di kerusi yang pernah ditandingi oleh PAS. Jadi maknanya kalau dia nak cari tapak yang subur dia boleh cari tapak daripada DAP atau PKR”, katanya.
Seorang lagi pemimpin PAS di Selangor iaitu Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata tiada ruang untuk AMANAH berkembang di Selangor memandangkan PAS masih bekerjasama dengan PKR dan DAP.
Kenyataan Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali yang mengatakan pembentukan pakatan baru tidak ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan Selangor memperlihatkan AMANAH tidak diterima langsung di negeri terkaya di Malaysia itu.
“Menteri Besar Selangor (Mohamad Azmin Ali) sudah bagi kenyataan Pakatan Harapan bukan di Selangor tempatnya. Saya fikir Pakatan Harapan selesaikan dahulu masalah dalaman.
“Selangor adalah kubu kuat Pakatan Rakyat dan kita akan kekal di sini. Kalau (Pakatan Harapan) hendak bertanding di Selangor, kita (PAS Selangor) nak tanya mahu bertanding di kerusi mana? Kalau betul nak lawan UMNO, maka pergilah tumpu di tempat UMNO,” katanya.
Sallehin juga sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mendesak Pakatan Harapan agar melebarkan sayap ke negeri lain di Semenanjung dan tidak mengganggu kerjasama Pakatan Rakyat antara PAS, DAP dan PKR di Selangor.
“(Kerjasama Pakatan Rakyat) Selangor tetap Selangor. Kita tidak akan bagi kerusi dan laluan (kepada Amanah). Tetap akan jadi kerusi PAS. Kita tidak akan kompromi dari segi kerusi (di Selangor).
“Tidak ada perbincangan tentang melepaskan kerusi PAS, kita akan kekal bertanding di 20 kerusi dan kita minta Amanah bertanding di negeri lain yang belum dimenangi, tumpukan di negeri lain kenapa nak tumpukan di tempat yang menang?, ” katanya.
Salahudin hari ini berkata Selangor bakal memberikan pulangan yang terbaik kepada Amanah sekiranya parti itu mengambil keputusan untuk meletakkan calon pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.
Selain itu, Salahudin turut berkata Amanah juga akan mempertimbangkan bertanding di Melaka dan Negeri Sembilan berdasarkan kajian mereka sendiri terhadap pengundi yang kemungkinan lebih dapat menerima parti itu.
Status Pakatan Harapan di Selangor masih kabur apabila Azmin sebelum ini mengambil jalan selamat untuk tidak mengulas lanjut berhubung status Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
– PRU14.tv
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment